Lama sudah kiranya jari-jari munggil ini tidak menaip kisah. Ecewah. Berikutan masa yang sangat terhad dan emosi yang selalu tak stabil, maka jaranglah dapat menambah cerita kurang "hot" di sini.
Bagaimana dengan sambutan Hari Raya Aidiladha di tempat anda? Bukan main lagi bertanya macamlah ramai sangat yang datang singgah baca blog suam-suam kuku ni. Hihihi... Tak kisahlah sama ada raya disambut meriah atau tidak, asalkan cuti hari ini diguna sebaik mungkin.
Seperti yang kita sedia maklum, bila sebut sahaja Aidiladha ramai yang sudah terbayangkan ibadah qurban. Apa tu? Eh, takkan tak tahu pula... Hari Raya Aidiladha juga disebut Hari Raya Qurban oleh masyarakat di Malaysia. Ibadah qurban itu sunat muakad iaitu ibadah yang digalakkan oleh Allah untuk menyembelih binatang ternakan seperti kambing, lembu mahupun unta bagi yang berkemampuan. Ibadah qurban dilakukan pada pagi raya sehinggalah terbenamnya matahari 13 Zulhijjah. Pernah dengar kisah Nabi Ibrahim a.s? Ya, baginda telah disuruh menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s sebagai tanda ketaatan baginda terhadap suruhan Allah. Bapa mana yang tak sayang anak, kan? Melihatkan kesungguhan Nabi Ibrahim a.s yang ikhlas dan begitu taat kepada Allah sehingga bersedia mengorbankan anak kesayangannya, Allah menggantikan anaknya dengan seekor kibas. Maka, Nabi Ibrahim pun sembelihlah kibas dan terselamatlah anaknya dari disembelih. Untuk pengetahuan semua, kita tak boleh sembelih binatang ikut suka hati. Terdapat syarat-syarat yang perlu kita ikut. Hmmm... Nak tahu lebih lanjut silalah baca tulisan-tulisan dari sumber sahih. Saya ni cerita berdasarkan apa yang saya dengar masa zaman kanak-kanak dulu. Bedtime story...
Aidiladha juga sinonim dengan ibadah haji di Mekah yang dilakukan pada hari yang sama dengan ibadah qurban. Di mana ribuan umat Islam berkumpul dari seluruh pelosok dunia bagi menunaikan rukun Islam kelima. Teringin betul hati ini melawat tanah suci. Apakan daya, belum ada kemampuan. Kepada yang belum pernah ataupun teringin lagi nak jejak tanah suci, sama-samalah kita berdoa agar diberi kesempatan melawat dan menziarah rumah Allah sekaligus menunaikan rukun Islam kelima. Amin...
Kalau Aidilfitri kita sambut meriah sehingga sebulan selepas penat menahan diri dari lapar, dahaga dan perkara-perkara yang membawa kepada maksiat, Aidiladha juga patut dirai tak kurang meriahnya. Ibadah qurban merupakan simbolik kepada rasa kasih dan sayang sesama umat. Sanggup berkorban dan berkongsi harta apa adanya sesama muslim. Bagi yang belum berkemampuan untuk menyembelih binatang qurban seperti saya, elok rasanya kita korbankan sikap dan sifat negatif yang lama melekat pada hati yang memudaratkan diri dan yang lain. Semaikan rasa positif agar hidup kita sentiasa terasa aman dan tenteram demi kesejahteraan bersama.
Akhir kata dari saya,
Salam Aidiladha!
No comments:
Post a Comment