About Me

My photo
Sedang mencari tahu tentang kehidupan. Melalui hari-hari demi menimba pengalaman. Biar menjadi teladan dan pedoman...

Saturday, March 7, 2009

::Mama BENCI Aku::


Hari dirasa begitu perlahan. Malam sepi berseorangan. Tinggal aku sendiri di flat keluargaku. Mujur ada TV sebagai peneman. Malam yang sungguh membosankan.

Petang tadi aku dan mama bergaduh. Kononnya dia menyesal lahirkan aku. Katanya, kalau dia tahu aku tidak seperti yang diharapkan, dari kecil lagi aku sudah diracun. Hmmm... Penat aku dengar. Seingat aku, ayat itu jugalah yang diulang-ulang sejak aku kecil. My Mom's favourite words. Ibarat angin lalu. Sedikit pun tidak meninggalkan kesan kepada aku.

Hairan. Susah sangatkah untuk mama menerima aku dalam hidupnya? Terlalu hinakah aku di matanya? Selama aku hidup, belum pernah aku mendapat pujian ikhlas daripadanya. Jangankan pujian, ucapan terima kasih pun susah nak dengar. Bukan tak pernah aku berbakti untuk keluarga, tapi sedikit pun dia tak hargai. Tidak berniat mengungkit, tidak juga meminta ganjaran atau layanan istimewa. Cuma sedikit ruang dalam hatinya.

Mama. Ibu yang melahirkan. Juga yang membesarkan. Mungkin kehadiranku terlalu membebankan. Andai itu yang buat mama tak keruan, biarlah aku keluar membawa haluan. Jujur kukatakan, hidup bertahun bersama mama bukanlah perkara bahagia yang pernah berlaku dalam hidupku. Aneh. Tidak seperti orang lain, aku selalu berharap untuk keluar dan tinggal jauh dari mama. Membenci mama bukanlah punca aku berfikir begitu tapi kerana sayangkan mama. Sebagai orang yang paling dibenci mama, adalah baiknya kalau aku tidak selalu berada dekat dengan mama. Bukan aku mereka cerita. Pengalaman dan pemerhatianku selama 20 tahun membuat aku benar-benar yakin bahawa mama memang bencikan aku. Aku rela tinggal jauh andai itu mampu membuat mama bahagia. Aku rela.

Aku masih lagi mencari jalan untuk tinggal jauh dari mama. Setakat ini nasib belum menyebelahi aku. Kesihatan ayah yang kurang memuaskan tidak memungkinkan aku untuk berada jauh dari ayah. Aku seperti tersepit. Aku akan menjadi lebih tertekan jika terus tinggal bersama mama tapi akan digelar anak yang tak bertanggungjawab jika aku keluar meninggalkan ayah yang tidak berapa sihat.

Aku buntu. Tuhanku, tunjukkanlah ku jalan.




No comments: