About Me

My photo
Sedang mencari tahu tentang kehidupan. Melalui hari-hari demi menimba pengalaman. Biar menjadi teladan dan pedoman...

Monday, February 13, 2012

Tika Ini... Aku dan Malam...


Usai menyiapkan tugasan, aku bersandar. Walau tidak siap sepenuhnya, aku menghembus nafas lega. Tugasan yang kurasakan berat telah kuselesaikan kurang dari satu jam. Kalau di pejabat harus aku ambil masa setengah hari. Aku pun tak pasti mengapa. Mungkin otakku lebih cekap berfikir di kala malam barangkali. Pernah juga aku terfikir untuk mencari pekerjaan yang memerlukan malamku tapi mana mungkin. Pekerjaanku kini pun sudah fleksi masanya masakan aku perlu meminta lebih.

Bertemankan bunyi kipas dan ketukan jari perlahan di papan kekunci komputer riba buat aku seakan hilang mengantuk. Alahai... Inilah akibatnya jika menyiapkan tugasan kerja di kala lewat malam. Mataku yang pedih dek tahan mengantuk menjadi segar. Otakku ligat. Jariku ligat menari di atas papan kekunci.

Kalau ikutkan hati, mahu saja kubikin kopi 'o panas menemani malam. Sayangnya, esok hari bekerja. Tidur lewat hanya mengundang masalah buatku di pagi hari. Andai saja ku dapat peluang berkarya hingga ke pagi tanpa perlu berfikir akan mengharungi lautan kereta untuk ke tempat kerja. Indahnya...

Oh, malam... Kiranya aku dapat bersamamu selalu...

No comments: