About Me

My photo
Sedang mencari tahu tentang kehidupan. Melalui hari-hari demi menimba pengalaman. Biar menjadi teladan dan pedoman...

Sunday, February 26, 2012

Dia yang Dipandang Sepi


Berpakaian serebeh dangan keadaan rambut yang kusut masai. Menggendong beg lusuh yang kelihatan sarat dengan kepunyaannya. Aku percaya kandungan beg itu penuh dengan memori seumur hidupnya. Menyusuri lorong sempit. Dia menguis-nguis tong sampah dan kotak-kotak yang bersepah mencari sesuatu. Pada pandangan mereka yang lain tentu saja dia sedang mencari makanan. Ishk, melontar pandang saja sudah geli apatah lagi ingin menghampiri.

Leka dia mencari. Riak wajahnya berubah-ubah. Terkadang seakan teruja. Terkadang seakan sedih. Sayu. Lama di situ dia berlalu. Mungkin apa yang dicari tak ditemu.

Dia bukan jenis yang meminta-minta. Andai ada yang sudi menghulur, dia terima dengan gembira. Hidupnya. Pandangannya. Fikirannya. Semuanya diabadikan untuknya cuma. Tak pernah dipedulikan cacian serta cercaan.

Kenapa perlu aku sibuk mencari tahu siapa dia yang compang camping itu? Kenapa perlu ambil tahu? Aaah, susah untuk aku terangkan satu persatu. Andaikan saja dia punya misteri yang teringin untuk aku ambil tahu.

Aku cuba menyusul. Mengekor ke mana saja langkahnya pergi. Tiba-tiba dia berhenti lantas menoleh. Aku terpempan dengan lagaknya yang tiba-tiba. Hati kecilku menjerit terkejut. Minda mula memikirkan jalan. Tanganku cekap mendapatkan telefon bimbit dan dengan segera mendail 999. Fikirku aku akan segera menelefon talian kecemasan andai dia mengapa-apakanku. Muka sugul itu tuba-tiba senyum. Aku jadi lebih keliru. Risau.

Rupa-rupanya si dia yang dipandang jijik itu bukanlah insan yang tiada warasnya. Bukan juga insan yang hilang pedomannya. Cuma seorang insan biasa yang dhaif hidupnya. Ditinggal sepi keluarga dan sahabat. Meneruskan hidup yang semakin singkat. Soalan yang tidak terluah dijawabnya satu-satu. Senyum kuukir walau lidahku kelu. Bijak dia meneka fikirku. Ramah dia memberi pendapat. Kata-kata persis pemikir hebat.

Pertemuan singkat yang tak terduga memberi aku satu pandangan baru terhadap kehidupan. Kalau dahulu aku selalu menyalahkan takdir atas segala yang berlaku, kini aku redha. Andai dia yang tidak punya apa-apa dan dipandang sepi masyarakat yang kononnya prihatin itu bahagia dengan apa yang diperolehnya, kenapa tidak aku? Punya keluarga, sahabat juga kerjaya malah mampu memiliki lebih darinya punya kehidupan bahagia juga? Sesuatu yang perlu difikirkan dengan lebih mendalam.

Untuk bahagia, harta benda, keluarga dan sahabat kadang-kadang tidak cukup sekiranya yang terpamer itu palsu semata. Tanya hati. Selami diri. Pastikan ketemu bahagia.

No comments: