Percaya atau tidak, terdapat ramai di antara kita yang mengeluh tentang hidup. Penggunaan kalau dan andai sering menghiasi bibir kita. Kita sering menginginkan kehidupan seperti orang lain yang mana kita sendiri tidak tahu bahawa orang lain mungkin menginginkan kehidupan seperti kita.
Mensyukuri nikmat Tuhan adalah perkara terbaik yang patut dilakukan. Ini kerana, setiap yang berlaku pasti punya hikmah di sebaliknya. Susah, senang, penat, lelah, pahit dan getir menambah rasa dalam kehidupan. Semua ini yang menjadikan hidup lebih bererti. Tanpa kesusahan, kita mungkin tidak akan menghargai kesenangan. Tanpa rasa penat, lelah, pahit dan getir, kita mungkin tidak akan menghargai pengorbanan.
Sebagai insan kerdil yang dikurniakan akal fikiran, kita harus melihat kehidupan daripada beberapa sudut yang berbeza. Hidup ini ibarat kain putih. Kita yang bertanggunggjawab mencorakkannya. Memilih warna-warna indah atau warna-warna suram adalah pilihan kita sendiri. Berbekalkan akal yang waras, pemerhatian yang menyeluruh, kita boleh menentukan hidup sendiri. Tidak wajar rasanya menginginkan kehidupan yang sangat sempurna kerana tiada satu insan pun di dunia ini memiliki kehidupan sempurna. Sebaliknya, kita harus berusaha mencorakkan hidup dengan corak yang unik dan tersendiri. Pucuk pangkal pada hati. Tepuk dada tanya selera.
Nikmati hidup kita sebaiknya. Hiasinya dengan indah supaya kita tidak menyesal saat kita meninggalkannya.
No comments:
Post a Comment